Asal usul nama Sabah
Asal-usul nama ‘Sabah’ dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai pisang saba iaitu sejenis buah pisang
yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat Bajau yang
sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di
sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga
dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.
Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para
pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke
kepulauan Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun
digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi. Dalam peta Portugis Melaka 1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api.
Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 ketika pembentukan Malaysia.
Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada
tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo
sewaktu beliau singgah di Borneo, Sabah ketika itu dikenali sebagai
"BURNI" yang mungkin merujuk kepada Brunei.
Sejarah awal
Sebelum abad ke-16, Sabah tidak mempunyai pemerintahan beraja
menyebabkan system pemerintahan di Sabah terbahagi kepada tiga iaitu
sistem politik kesukuan, sistem politik kesultanan dan sistem politik
ketua babas.
Kurun ke-5 hingga ke-16
Kesultanan Brunei
Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaitu Srivijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa.
Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agama Islam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo.
Kecuali dari Eropah, pendatang asing yang berurusan dengan Sabah
(Borneo Utara) tidak meninggalkan sebarang rekod bertulis tentang
kegiatan mereka di kawasan ini. Penduduk tempatan juga tidak memiliki
sebarang rekod bertulis kecuali sejarah dan tradisi lisan mereka.
Pada 600 tahun masihi, orang-orang Cina telah datang untuk membuat
perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah
Brunei (Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di
kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik
yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada
menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik
orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.
1521-1890
Kedatangan pendatang Eropah
- 1521: Antonio Pigafetta, seorang penulis sejarah Ferdinand Magellan tiba di Brunei dan telah disambut secara besar-besaran
- 1526: Orang Portugis yang diketuai oleh Menezes melawat Brunei
- 1577: Kuasa Sepanyol telah menakluk Filipina dan juga menyerang Brunei. Kesultanan Sulu juga ditakluk oleh Sepanyol.
- 1609: Belanda telah mendirikan pangkalan dagangan di Batavia (Jakarta), Jawa.
- 1658: Sultan Brunei telah menghadiahkan kawasan timur laut Borneo kepada Sultan Sulu sebagai penghargaan baginda terhadap Sultan Sulu dalam menyelesaikan perang saudara di antara Sultan Abdul Mubin dengan Pengeran Mohidin. Persengketaan dalaman kerajaan Brunei merupakan satu faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar tersebut.
- 1665: Kapten Cowley telah melawat Borneo dan beliau merupakan orang Inggeris pertama yang melakukan lawatan ke Borneo.
Balembangan
Dalam tahun 1761, Alexander Dalrymple seorang pegawai dari Syarikat
Hindia-Timur British di Madras, India telah membuat satu perjanjian
dengan Sultan Sulu yang membenarkan beliau membuka satu pangkalan
perdagangan di kawasan Borneo Utara. Beliau telah memilih Pulau
Balembangan kira-kira 20 batu dari utara bandar Kudat. Pada tahun 1763,
Dalrymple telah mengibarkan bendera British di Balembangan dan menamakan
pulau itu ' Felecia'. Kemudian seorang pegawai iaitu John Herbert
dihantar untuk mendirikan penempatan di Felecia (Balembangan).Namun
begitu penempatan ini menghadapi masalah sejak ia dimulakan. Kepincangan
urusan pentadbiran, rompakan di laut dan kemusnahan kebakaran telah
membawa kehancuran kepada pangkalan dagangan ini pada akhir 1775. Satu
usaha untuk menyusun semula pangkalan ini telah dilakukan pada 1803 oleh
General Gabenor India, Lord Arthur Wellesley melalui pegawainya Robert
J. Farquhar, Residen di Amboina. Dalam usaha ini Felicia telah dijadikan
stesen ketenteraan tetapi usaha tersebut gagal dan stesen ini
ditinggalkan pada November 1805. Perhatian British kemudian beralih
kepada kawasan lain di gugusan pulau Melayu.
Labuan
Minat British terhadap Borneo Utara dihidupkan semula selepas tempoh
40 tahun khususnya Labuan, sebuah pulau yang terletak di sebelah barat
laut Borneo. Pada 1844, James Brooke berunding dengan Sultan Brunei
tentang penyerahan pulau Labuan untuk digunakan oleh British sebagai
tempat melombong batu arang di samping menjadikan satu pangkalan untuk
membenteras kegiatan lanun serta meningkatkan perdagangan.
Pada 18 Disember 1846, satu perjanjian telah ditandatangani yang
menyebabkan pulau Labuan dan pulau-pulau kecil yang berhampiran
diserahkan buat selamanya oleh Sultan Brunei kepada pihak British.
Brooke telah menjadi Gabenor Labuan yang pertama dan Konsul Besar di
Borneo. William Napier dilantik menjadi Timbalan Gabenor, Hugh Low
sebagai Setiausaha Kolonial dan Spencer St. John sebagai setiausaha
sulit kepada Brooke. Labuan tidak mampu berkembang seperti mini
Singapura atau Pulau Pinang, seperti yang diharapkan oleh pengasasnya.
Iklim yang tidak memuaskan, serangan malaria dan kekurangan kemudahan
asas telah menjadi faktor penghalang kepada pembangunan pulau tersebut.
Rentetan sejarah Labuan boleh dilihat daripada pelbagai perubahan
pentadbirannya. Pada tahun 1890, Labuan telah diletakkan di bawah
pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Pada 1907, ia
diletakkan di bawah kerajaan Negeri-negeri Selat. Selepas Perang Dunia
Kedua, Labuan menjadi sebahagian daripada jajahan Borneo Utara. Kemudian
pada 16 April 1984, Labuan telah menjadi sebahagian daripada Wilayah
Persekutuan Malaysia.
1881-1963
Syarikat Perdagangan Amerika
Selepas kekecewaan British terhadap Labuan, minat British terhadap
Borneo Utara pudar sehinggalah ke tahun 1881 apabila sebuah syarikat
perdagangan, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mula mentadbir
Borneo Utara. Walau bagaimanapun kehadiran mereka telahpun didahului
oleh pengaruh dan minat Amerika buat seketika.
Pada 1865, seorang konsul Amerika di Brunei, Claude Lee Moses telah
berjaya menyewa Borneo Utara dari Sultan Brunei untuk tempoh 10 tahun.
Kemudian beliau menjualnya kepada Syarikat Perdagangan Amerika (American
Trading Company) yang dimiliki oleh J.W.Torrey, T.B. Harris dan
beberapa orang pedagang Cina. Torrey memilih Kimanis, satu kawasan di
barat daya Borneo Utara sebagai pangkalannya dan memulakan pembinaan
penempatan lalu dinamakan 'Ellena'. Usaha mencari bantuan kewangan bagi
membiayai pembangunan penempatan tersebut gagal lalu ditinggalkan.
Dengan hampir menjelangnya tamat tempoh sewaan wilayah tersebut, Torrey
berhasil menjual haknya kepada konsul Austria di Hong Kong iaitu Baron
Von Overbeck. Overbeck berjaya memperbaharui tempoh sewaan tersebut
untuk 10 tahun dari Tumonggong Brunei. Selain itu, Overbeck berhasil
mendapatkan bantuan kewangan dari Dent bersaudara (Dent brothers -
Alfred and Edward) bagi menampung perbelanjaan rancangan yang dirancang
untuk Borneo Utara.
Alfred Dent dan sewaan
Akhirnya, Overback bersama Count Montgelas, dari Kedutaan
Austro-Hungarian di London dan A.B. Mitford, seorang ahli politik
kemudiannya telah bersetuju memberi hak-hak mereka kepada Alfred Dent.
Maka dari situ, pada tahun 1878, tertubuhlah Syarikat Borneo Utara British (SBUB). SBUB menggelarkan Sabah sebagai "negeri di bawah bayu".
Selain itu, SBUB juga berminat untuk menduduki bahagian timur laut Borneo Utara, yang mana ketika itu diperintah oleh Kesultanan Sulu.
Oleh itu perjanjian bersama Sultan Sulu telah diadakan bagi mengambil
wilayah tersebut. Sebagai balasan daripada pihak SBUB kepada Sultan
Sulu, SBUB akan menyediakan bantuan pertahanan kepada Sultan bagi
melawan golongan "spaniards" dan memberikan (RM 5,000, nilai dalam
dollar Mexico yang mana pada ketika itu bersamaan dengan nilai emas).
Penyewaan ini berterusan sehinggalah Sabah mengecapi kemerdekaan bersama
Malaysia pada tahun 1963, bersama-sama dengan Singapura, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Sehingga kini, kerajaan Malaysia masih membayar sewaan bernilai RM 5,300 (tambahan RM300) kepada Sultan Sulu untuk wilayah tersebut.
Protokol Madrid 1885
Pada 1885, perjanjian Protokol Madrid antara Britain, Jerman dan
Sepanyol dimeterai untuk mengiktiraf kedaulatan Sepanyol ke atas
Arkipelago Sulu dan pengaruh Sepanyol hanya terhad di bahagian itu.
Artikel 3 khususnya mengesahkan Sepanyol melepaskan semua tuntutan ke
atas Borneo; kepunyaan atau bekas kepunyaan Sultan Sulu(Jolo) juga
dilepaskan termasuk semua kepulauan di bawah pentadbiran SBUB.
Ketiga-tiga negara juga berjanji untuk berdagang sesama sendiri tanpa
sekatan di Arkipelago dan Borneo Utara.
Syarikat Berpiagam Borneo Utara British
Pada 1888, Borneo Utara telah menjadi negeri naungan British di mana
kerajaan British akan melindungi Borneo Utara di bawah pengaruh British.
Pemerintahan Syarikat ini terhadap Borneo Utara telah memberi banyak
pembangunan di kawasan ini. Borneo Utara diperintah melalui satu sistem
secara hairaki (tidak langsung). Pada amnya pentadbiran berjalan dengan
aman, namun begitu terdapat juga beberapa penentangan kecil. Penentangan
yang serius termasuklah Perang Mat Salleh dari tahun 1894-1900 diikuti
oleh penentangan Rundum yang dilakukan oleh suku Murut dalam tahun 1915.
Pihak BNBCC berupaya memerintah Borneo Utara sehingga 1942, selama 60
tahun apabila Perang Dunia Kedua tercetus. Tentera Jepun mendarat di
Labuan pada 1 Januari dan menduduki Borneo Utara sehingga ia dibebaskan
oleh askar dari ‘9th Division Australian Imperial Forces (A.I.F)’ pada
tahun 1945. Selepas Perang Dunia Kedua, Borneo Utara telah ditadbir oleh
Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration)
sehingga 15 Julai 1946 apabila kerajaan sivil disambung semula.
Tanah Jajahan British
Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara diletakkan di bawah jajahan British
kerana BNBCC tidak mampu membina semula kemusnahan Borneo Utara selepas
Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan
telah menyebabkan Jesselton dipilih sebagai ibu negeri selepas era
Perang Dunia Kedua dan status ini kekal ke hari ini. Sistem pentadbiran
penjajahan selepas perang adalah sama dengan sistem pentadbiran pada era
BNBCC. Pembinaan semula dan pembangunan negeri Borneo Utara menjadi
fokus utama para pentadbir.
Kemerdekaan
Pada amnya keadaan negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang
sehingga tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik. Keinginan
kemerdekaan seperti yang dicapai oleh negara lain telah sampai ke Borneo
Utara. Penyebaran semangat ini bermula dengan pengumuman yang dilakukan
oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961
berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada
Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura. Malaysia
telah wujud dengan rasminya, tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan
nama Borneo Utara telah ditukar kepada Sabah. Terlebih dahulu dari itu,
Borneo Utara telah mencapai kemerdekaan dari British pada 31 0gos 1963.
Bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura keluar daripada Persekutuan
Malaysia.
Penglibatan negeri Sabah dalam Persekutuan ini banyak membawa
perubahan dari aspek pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya. Sabah
terus mengalami pembangunan yang pesat dan seterusnya memasuki era baru
yang lagi mencabar sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Tuntutan Filipina keatas Sabah
Pada 12 September, 1962, semasa pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal, Wilayah Borneo Utara,
telah diserahkan oleh Sultan Sulu yang memerintah ketika itu, Kebawah
Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Esmail E. Kiram I, kepada Republik Filipina. Penyerahan ini telah memberikan kerajaan Filipina kuasa penuh untuk menuntut hak ke atas Sabah di Mahkamah Antarabangsa. Filipina
telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas Sabah
disatukan dengan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Perkara ini telah
dibubarkan pada tahun 1989 kerana kerajaan Filipina yang baru telah
menggugurkan tuntutan mereka demi untuk memperbaiki semula hubungan
diplomatik dengan Kuala Lumpur yang terjejas. Sehingga sekarang, Malaysia terus menolak ajakan Filipina untuk menyelesaikan masalah tuntutan Filipina keatas Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Lanjutan dari itu, Sabah melihat isu tuntutan ke atas Sabah untuk dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang dibuat oleh Pemimpin Moro Filipina iaitu Nur Maisuri sebagai bukan isu, maka tuntutan tersebut tidak diendahkan.
Rujukan & sumber : ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Sabah
No comments:
Post a Comment